KEUNGGULAN ISLAM
Pengertian Hadith

Home

AL-QURAN | HADIS | BAHR AL-MAADZI | SEJARAH | TOKOH ISLAM | TAZKIRAH | PERSOALAN | ALBUM | PERBINCANGAN | FAIL | NASYID | LINK

Mustalah hadith ialah satu ilmu untuk mengetahui istilah-istilah yang digunakan

dalam ilmu hadith. Orang yang mula menyusunnya ialah Qadi Abu Mahmud  

al-Ramahramzi [Tahun 360 Hijrah].

 

Hadith menurut bahasa, ialah pertama: Yang baharu, Kedua: Perkhabaran,

Ketiga: Yang dekat atau yang belum lama.

 

Menurut istilah ahli hadith pula: ialah segala ucapan nabi, segala

perbuatan dan segala keadaannya. Masuk ke dalam pengertian keadaannya,

segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah seperti hal keputraannya,

tempatnya dan segala yang bertalian dengannya. Pengertian ini samalah

dengan pengertian sunnah menurut istilah golongan ahli hadith. Tetapi

pengertian ini berlainan dengan pengertian ahli usul. Dan sebab

berlainan ini ialah kerana berlainan jurusan yang mereka lihat dan

mereka tinjau.

 

Ahli (ulama') hadith membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang

dijadikan ikutan bagi umatnya. Kerana ini mereka pindahkan dan mereka

terangkan segala yang bersangkutan dengan rasul, baik mengenai riwayat,

perjalanannya, mengenai budi pekertinya, keutamaannya, keistimewaannya,

tutur katanya, perbuatan-perbuatannya; sama ada yang dapat mewujudkan

hukum atau tidak.

 

Ulama' usul membahaskan rasul sebagai seorang pengatur undang-undang

yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid

sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan

hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata

rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu

pengakuan-pengakuannya bersangkutan dengan perkara penetapan hukum.

 

Sementara itu ulama' fiqh membahaskan peribadi rasul sebagai seorang

yang seluruh perbuatannya atau perkataannya atau menunjukkan kepada

suatu hukum syara'. Mereka membahaskan hukum-hukum yang mengenai para

mukallaf dan perbuatan mereka dari segi hukum wajib, haram, harus,

makruh dan mandub (sunat).