Make your own free website on Tripod.com
KEUNGGULAN ISLAM
PENGENALAN KEPADA PENULIS KITAB

Home

AL-QURAN | HADIS | BAHR AL-MAADZI | SEJARAH | TOKOH ISLAM | TAZKIRAH | PERSOALAN | ALBUM | PERBINCANGAN | FAIL | NASYID | LINK

Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf Al Marbawi adalah seorang ulamak besar yang tidak asing lagi bukan saja di Nusantara malah Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Ilmu Hadis, Tafsir dan Fiqah.
Beliau dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah al Mukarramah. Ketika berusia 10 tahun, beliau mampu menghafaz sebanyak 10 juzuk Al Quran di samping beberapa buah kitab lain. Pada Tahun 1333 Hijrah/1913 Masehi, beliau pulang ke tanahair bersama-sama keluarganya.

Sekembalinya ke tanahair, Allahyarham Syeikh Mohd Idris Al Marbawi mendapat pendidikan pertama di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok seperti Sekolah Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al Masudi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Setelah menamatkan pengajian, Syeikh Mohd Idris Al Marbawi bertugas sebagai Guru Agama di Perak.

Pada tahun 1924, beliau telah  melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar, Mesir dan berjaya mendapat ijazah 'Aliyah (  Tertinggi ). Semasa berada di sinilah beliau menyusun kamus Arab/ Melayu atau lebih dikenali sebagai Kamus Al Marbawi yang diterbitkan pada tahun 1937.

Bermula dari sinilah, beliau terus menerokai bidang penulisan yang lebih mencabar. Antara hasil karya beliau ialah :-
a)     Kitab Bahrul Mazi
b)     Tafsir Quran Al Marbawi
c)     Tafsir Surah Yasin
d)     Tafsir Nurul Yaqin
e)     Tafsir Fathul Qadir
f)     Kitab Bulughul Maram
e)     Kitab Jami'ul Ulum
g)     Usulul Islam
h)     Nizamul Hayah
i)     Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid ) dan lain-lain.

Atas sumbangan dan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan, maka pada 5 Julai 1980, Allahyarham Syeikh Idris Al Marbawi telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia manakala pada 1 Muharram 1408H pula, beliau telah diisytiharkan sebagai  Tokoh Ma'al Hijrah 1408.