KEUNGGULAN ISLAM
ADAKAH BERSERBAN DAN BERSUGI ITU SUNNAH

Home

AL-QURAN | HADIS | BAHR AL-MAADZI | SEJARAH | TOKOH ISLAM | TAZKIRAH | PERSOALAN | ALBUM | PERBINCANGAN | FAIL | NASYID | LINK

Sebelum dilanjutkan masalah ini, perlulah kita semua fahami terlebih dahulu , apakah yang dimaksudkan dengan SUNNAH itu ?.

Para Ulama samada Ulama Fiqh ataupun Hadis mempunyai definasi (takrif) yang berbagai mengenainya, yang terbaik menurut pendapat kami ialah :


SUNNAH ITU IALAH APA-APA SAHAJA YANG BERSUMBER / BERASAL DARIPADA SAIDINA RASULULLAH S.A.W , SAMADA IANYA BERBENTUK SABDANYA, PERBUATAN, PERAKUANNYA, DAN JUGA SIFAT-SIFAT SEMULAJADINYA (FITRAHNYA) SERTA SIFAT-SIFATNYA ( AKHLAKNYA ) .

Oleh kerana berserban itu tergolong di dalam cara-cara perbuatan Baginda s.a.w, maka ianya dinamakan sebagai SUNNAH juga. Walaupun begitu, SEGALA PERBUATAN SAIDINA RASULULLAH S.A.W hendaklah ditinjau drp sudut-sudut berikut :


(01) Sudut Qurbah ( Ibadat ) Seperti solat, puasa , zakat dan lain-lain amal yang berkaitan dengan keakhiratan .

Setiap perkara Qurbah ini WAJIB DITURUTI kecuali apabila terdapatnya dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan qurbah @ ibadah itu adalah sunat hukumnya , seperti berpuasa 10 Muharram ( Asyuraa ) .

Ataupun ianya menjadi satu ibadah khusus untuk Baginda s.a.w sahaja seperti Puasa Wisol ( bersambung siang-malam) dan kewajipan solat malam ( tahajjud dan witr), kewajipan solat dhuha dan juga berkahwin melebihi 4 orang wanita.


(02) Sudut Taat ( Ikutan ) Seperti urusan pernikahan, perniagaan, perhubungan dan setiap perkara duniawi ( urusan kehidupan di dunia ini ) Hukum asal bagi sudut ini ialah WAJIB DITURUTI.

Kewajipan yang menjadi hukum asal itu BOLEH BERUBAH HUKUMNYA kepada sunnat apabila ada dalil yang boleh mengubah ketetapan asalnya contohnya perbuatan mencium Hajar Al-Aswad di sisi Kaabah ( Ada juga para ulama meletakkan contoh ini di bahagian Qurbah ).

Kewajipan yang menjadi hukum asal itu juga boleh bertukar menjadi HARUS sekiranya ada dalil yang kuat yang boleh mengubah hukum asal itu menjadi harus ( mubah ) seperti cara baginda s.a.w bertani, cara baginda s.a.w mengubati pesakit dengan beberapa ubat-ubat tradisional di masa itu dan cara baginda s.a.w mengatur strategi peperangan.


(03) Sudut Jibilliyah ( Tabiat Semulajadi / Adat Kebiasaan Baginda s.a.w ) Seperti cara makan dan minumnya Baginda Rasulullah s.a.w, cara tidur, membuang air dan cara baginda s.a.w berpakaian serta kelakuan baginda s.a.w yang memang ianya juga menjadi kebiasaan ( tabiat ) manusia selainnya secara fitrah.

Hukum asal perbuatan-perbuatan Baginda s.a.w yang berbentuk Jibilliyah ini TIDAK WAJIB diikuti kerana ianya adalah bersumberkan sifat dan tabiat kemanusiaan yang ada pada Rasulullah s.a.w, dan juga sifat dan tabiat itu juga ada pada manusia lain seperti tabiat hendak membuang air - itu bukannya merupakan sifat risalah (kenabian) Baginda s.a.w dan bukannya juga di bawah kategori TAKLIF ( Bebanan Syariah ) yang dibebankan (diwajibkan) , kerana taklif itu sendiri adalah satu arahan yang boleh jadi saja manusia terdaya untuk melakukan dan boleh jadi saja manusia terdaya meninggalkannya, sedangkan perbuatan Baginda s.a.w membuang air itu adalah satu tabiat dan fitrah sebagai seorang manusia, bukannya satu taklif.

Kalau dituruti juga perbuatan Baginda s.a.w di dalam kategori ini, maka hukumnya adalah HARUS / MUBAH ( mengikut pendapat majority ahli Fiqh ) dan sebahagian ahli Fiqh lagi berpendapat ianya adalah SUNAT dituruti.

Saidina Abdullah Bin Umar Al-Khattab (r.a) adalah seorang sahabat (r.a) yang cuba ( mengikut kemampuannya ) meniru 100 % setiap perbuatan dan tabiat Saidina Rasulullah s.a.w.


Maka daripada penerangan lalu, dapatlah disimpulkan bahawa berserban adalah sunnah dan orang yang tidak memakainya ataupun tidak meniru cara Baginda Rasulullah s.a.w berserban secara meniru 100 % ( totok ) tidaklah dapat digelar telah melakukan Bidah Saiyiah ( Bidah yang tercela di dalam Islam ).


Bersugi pula adalah sunat hukumnya sebagaimana hadis yang ada diriwayatkan oleh Al-Aimmah Al-Kibar seperti Al-Bukhari (rh) , Muslim (rh) dan Malik (rh) perbuatan bersugi itu adalah sunnah yang sunat hukumnya. Maknanya : Bersugi dengan apa jenis alat sugi pun dan apa jenis ubat sugi ( ubat gigi ) adalah sunnah.


Dan orang yang cuba meniru 100 % cara Rasulullah s.a.w berpakaian dan bersugi hingga menggunakan kayu sugi berkopiah, menggunakan minyak wangi dan sebagainya - ianya tetap mendapat pahala SUNAT , kerana perasaan cinta kepada Baginda s.a.w sudah membuahkan pahala , apatalah lagi andainya dicuba mengikuti cara dan tatacara hidup dan kelakuan baginda s.a.w !!!.


Walaupun begitu, kita mengharapkan agar semua muslimin faham akan pembahagian di atas dengan sebaik-baiknya , dan tidak pula menggadaikan pahala sunat itu dengan mencela orang-orang muslimin yang tidak mahu mengamalkan sunnah yang sunat itu, kerana telah maklum mencela sesama muslimin adalah HARAM !!!.

LAIN-LAIN