KEUNGGULAN ISLAM
SEMBAHYANG WANITA: MANA LEBIH BAIK, DI RUMAH ATAU DI MASJID?

Home

AL-QURAN | HADIS | BAHR AL-MAADZI | SEJARAH | TOKOH ISLAM | TAZKIRAH | PERSOALAN | ALBUM | PERBINCANGAN | FAIL | NASYID | LINK

Sembahyang Wanita: Mana lebih baik, di rumah atau di masjid?
Oleh: zain y.s

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya:
Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Janganlah kamu menegah para wanita keluar ke masjid-masjid, dan (sedangkan) rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka.
(HR Ahmad & Abu Daud)

Hadis di atas, Rasulullah secara umum menyatakan bahawa para suami tidak boleh menghalang isterinya dari pergi berjamaah di masjid tanpa mengira waktu sembahyang manapun Pada waktu siang ataupun malam.

Terdapat hadis lain lagi yang menyatakan larangan menegah wanita dari berjamaah di masjid tanpa mengaitkan dengan waktu mana, tetapi diberi peringatan agar wanita itu tidak boleh memakai bau-bauan. Hadis berkenaan adalah riwayat dari Abu Hurairah r.a.:
Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai bau-bauan. (HR Ahmad dan Abu Daud)

Manakala terdapat juga hadis-hadis yang melarang wanita pergi berjamaah di masjid pada waktu-waktu tertentu, antaranya ialah:
Dari Abu Hurairah r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w: Mana-mana wanita yang memakai dupa, maka janganlah dia menghadiri sembahyang Isyak bersama kami. (HR Muslim, Abu Daud & al-NasaI)

Berikut ini pula adalah hadis yang mengizinkan wanita pergi ke masjid pada waktu tertentu:
Dari Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila wanita-wanitamu meminta izin kepadamu dimalam hari untuk pergi ke masjid, maka kamu izinkanlah. (HR jamaah kecuali Ibnu Majah)

Sebuah Hadis Dhaif dari Ummu Salamah pula menceritakan tentang tempat yang paling baik untuk wanita mengerjakan sembahyang:
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik masjid bagi para wanita ialah di dalam rumahnya. (HR Ahmad).

Akhirnya, dari Aisyah r.a., katanya: Sekiranya Rasulullah s.a.w. menyaksikan dari para wanita apa yang kita lihat sekarang ini, tentulah baginda menegah mereka pergi ke masjid sebagaimana bani Israil telah menegah wanita-wanitanya. (HR Bukhari dan Muslim)

*******
Setelah kita melihat hadis-hadis di atas, mari kita lihat pula apa pendapat para ulamak mengenai masalah wanita berjamaah di masjid.

Golongan Syafiiyah membenarkan wanita-wanita tua pergi berjamaah di masjid, sedangkan yang masih muda dimakruhkan.

Menurut satu riwayat dari Imam Malik mengatakan bahawa wanita boleh pergi ke masjid tetapi tidak boleh kerap, manakala wanita muda boleh sekali sahaja.

Imam Hanafi pula tidak menyukai para wanita menghadiri Jumaat dan jamaah sembahyang fardu. Namun beliau membolehkan para wanita yang telah tua menghadiri jamaah sembahyang Isyak dan Subuh.

Sahabat beliau Abu Yusof tidak menyukai wanita-wanita muda menghadiri jamaah di masjid, dan tidak mengapa untuk wanita tua.

Al-NakhaI melarang para wanita menghadiri Jumaat dan jamaah. Beliau sendiri menegah isteri-isterinya berbuat demikian.

Al-Thauri berpendapat bahawa yang paling baik bagi wanita ialah bersembahyang di rumah sekalipun telah tua.

Ibnu Qudamah dari mazhab Hanbali mengatakan bahawa wanita boleh menghadiri jamaah kaum lelaki, memandangkan wanita pada masa Rasulullah s.a.w. turut bersembahyang bersama Rasulullah s.a.w. di masjid.

Ibnu Hazmin dari kalangan mazhab Zahiriah berpendapat bahawa para wanita tidak diberatkan untuk menghadiri sembahyang jamaah di masjid. Perkara ini tidak diperselisihkan. Namun adalah dipandang sebagai baik jika mereka menghadirinya. Perkara ini juga telah jelas diketahui, kerana para wanita telah menghadiri jamaah bersama Rasulullah s.a.w., dan baginda mengetahuinya tetapi tidak melarangnya. Dan tidak boleh para wali (ibubapa/penjaga) melarang wanita dari menghadiri jamaah di masjid.

************
Mari kita telusuri lebih jauh pendapat Ibnu Hazmin untuk difikirkan dan direnungkan:
Berdasarkan pendapat Ibnu Hazmin, bukanlah seorang wanita bersembahyang di rumah itu lebih afdhal, bahkan berjamaah di masjid adalah lebih afdhal bagi mereka. Mereka akan diberi pahala kerana berjamaah di masjid. Perkara ini di sokong oleh hadis-hadis Rasulullah s.a.w. serta perbuatannya yang tidak melarang para wanita yang menjadi makmumnya. Manakala para Khulafaur Rasyidin juga berbuat perkara yang sama dengan tidak melarang para wanita pergi ke masjid.

Diriwayatkan dari Abdul Razak, bahawa Umar r.a. pernah menyuruh Sulaiman ibni Zaid mengimami satu jamaah wanita di suatu sudut di masjid pada bulan Ramadhan.

Ketika Umar r.a. ditikam semasa mengimamkan sembahyang Subuh, dan ketika itu isterinya Atikah turut serta berjamaah. Dan suatu ketika sebelum itu, Umar r.a. pernah berkata kepada isterinya Atiqah: Aku tidak suka engkau bersembahyang bersama-sama kami. Jawab Atiqah: Saya tidak akan berhenti dari pergi ke masjid sehingga dilarang. Umar membalas: Aku tidak akan melarang. Kerana dia tahu bahawa para wanita memperoleh pahala dengan hadir ke masjid.

Ali r.a. pula pernah melantik 2 orang imam sembahyang pada malam bulan Ramadhan, Seorang untuk jamaah lelaki dan yang seorang untuk jamaah wanita.
Bagaimana dengan hadis yang mengatakan .. dan rumah-rumah mereka (wanita) adalah lebih baik baginya.? Ya, hadis ini tidak dapat diamalkan kerana ia bertentangan dengan kenyataan yang berlaku Iaitu perempuan memperoleh pahala dengan berjamaah di masjid. Baiklah, jika kita andaikan, kita dapat menerima hadis berkenaan, ia sudah tentu bermaksud dalam keadaan-keadaan tertentu. Kalau keadaan memungkinkan akan terjadinya fitnah apabila wanita pergi ke masjid, maka ketika itulah bersembahyang di rumah adalah lebih afdhal dari berjamaah di masjid. Jika terhindar fitnah, masjid adalah lebih baik.

Seperkara lagi, seandainya sembahyang rumah itu lebih afdhal bagi wanita berbanding di masjid, sudah tentu Umar r.a. awal-awal lagi akan melarang isterinya dari pergi ke masjid.

Akhirnya, jika wanita-wanita itu dilarang pergi ke masjid atas alasan takut timbulnya fitnah, maka adalah lebih baik jika mereka dilarang samasekali untuk keluar ke pasar, ke tempat umum, bekerja dsbnya. Dengan tidak syak dan ragu lagi, bahawa kemungkinan untuk timbulnya fitnah kerana pergi berjamaah di masjid adalah jauh seribu kali lebih ringan lagi berbanding fitnah kerana pergi ke tempat-tempat umum, pasar, kerja dsbnya. Jika para wanita ini biasa berulang alik ke masjid untuk beribadah dan mendengar pengajian-pengajian yang berguna, maka akan menjadi mengecillah dunia kerusakkan dan kemaksiatan. Bukankah natijahnya baik?

Ini adalah serba ringkas diskusi pendapat Ibnu Hazmin.. Kira okey juga berbanding lain-lain pendapat, lebih-lebih lagi memandangkan zaman yang kita berada sekarang ini, di mana masjid perlu difungsikan semula sepenuhnya.

Wallahu Alam

Zain ys

Rujukan
Nailul Authar Al-Syaukani
Subulus Salam Al-Shanani

LAIN-LAIN