KEUNGGULAN ISLAM
HUKUM MEMELIHARA DAN MENGURUNG BURUNG

Home

AL-QURAN | HADIS | BAHR AL-MAADZI | SEJARAH | TOKOH ISLAM | TAZKIRAH | PERSOALAN | ALBUM | PERBINCANGAN | FAIL | NASYID | LINK

Kita sering melihat orang memelihara binatang kesayangan seperti kucing, ikan perhiasan, burung dan sebagainya. Mereka bukan setakat memelihara begitu sahaja, malahan mengurung binatang berkenaan, tidak kira samada di dalam sangkar, kandang, akuarium dsbnya. Dan, orang-orang Islam sendiri, ada melakukan perkara berkenaan. Alasan mereka memelihara binatang berkenaan ialah ada yang kerana mahu menikmati kecantikan burung, kerana kemerduan suaranya dsbnya.

Apakah hukum mengurung binatang? Rasanya seperti haram saja hukumnya.. Sebab, seperti menyiksa binatang berkenaan. Rasanya, seperti pernah dengar hadis Nabi s.a.w. yang mengatakan bahawa ada seorang wanita yang masuk neraka kerana mengurung kucing.. Wanita itu katanya kuat ibadat.

Baiklah, cuba kita telusuri secara lebih dekat tentang hukumnya, melalui al-Quran, al-Hadis dan pendapat ulamak. Agar kekaburan di atas dapat di terangkan. Kekusutan dapat dihuraikan.

*******
Sebahagian dari binatang seperti burung dan ikan ada yang indah kejadiannya, merdu suaranya. Kecantikan dan keindahan serta kemerduan pada umumnya dapat menarik kecintaan jiwa kepadanya. Mudahnya, hati kita sangat suka kepada keindahan dan kemerduan. Dengan melihat dan mendengarnya hati jadi hidup, jiwa jadi damai dan fikiran jadi rehat. Kenikmatan ini dirasakan menjalar ke seluruh tubuh. Ia dapat mendorong sekujur tubuh manusia; jiwa dan raganya lebih bersemangat untuk meneruskan hidup ini sebagai khalifah Allah yang taat di muka bumi. Katanya: "Inilah nikmat Allah.. Inilah keagungan ALlah.. Aku bersyukur kepadaNya." Manakala mereka yang tidak menghiraukan perkara-perkara sebegini, hatinya mati dan jiwanya terkubur.

Al-Qurtubi berkata di dalam kitab tafsirnya bahawa bukanlah semua perkara yang dapat membangkitkan jiwa (hiburan, seni dan keindahan) itu diharamkan, dan tidak juga semua apa yang diambil oleh manusia untuk berhias-hias itu dibenci syarak. Yang dilarang oleh syarak ialah kalau nak menunjuk-nunjuk atau takbur.

Biasalah, manusia ini suka jika dirinya dilihat cantik dan bergaya.. Ini adalah santapan jiwa yang tidak dikeji. Sebab itulah mereka menyikat rambut, melihat cermin, mengemaskan serbannya (/kupiah), berpakaian kemas dsbnya. Tak mengapa, ini dibolehkan oleh syarak. Orang Islam tak sewajarnya berpenampilan selekeh..

Nabi sendiri, menurut riwayat Makhul dari Aisyah, pernah melihat ke air untuk mengemaskan janggut dan rambutnya ketika hendak bertemu dengan para sahabat. Apabila sahabat bertanya, apa engkau buat, jawab baginda: "Ya, apabila seorang lelaki hendak keluar kepada saudara-saudaranya (bertemu), perkemaskanlah diri. Sesungguhnya Allah itu cantik dan Dia suka kepada kecantikkan."

************
Berhias hukum asalnya adalah harus. Ia adalah fitrah atau naluri manusia yang perlu dipenuhi. Islam pula adalah agama keadilan. Oleh itu Islam tidak pernah samasekali mengabaikan fitrah manusia setitik pun.

Berhias dan perhiasan adalah halal, samada menggunakan, membeli dan menjual. Sebahagian dari perhiasan ialah ikan, burung dan binatang-binatang lainnya. Ia boleh dipelihara dan dijualbeli selama tidak terkeluar dari batas-batas ketentuan syarak. Dan lagi, syarat berikut hendaklah dipenuhi, iaitu:
1. Tidak bertujuan untuk bermegah-megah dan takbur.
2. Ketika menikmati keindahan perhiasan itu, atau kesibukkan memelihara binatang peliharaan tidak sampai melalaikannya dari kewajipan-kewajipan yang diperintahkan oleh syarak.
3. Tidak mengabaikan atau melalaikan tentang pemberian makanan dan tempat tinggal yang baik. Hadis tentang wanita yang akan dihumban ke neraka, adalah kerana dia mengurung dengan tidak memberinya makan hingga ia mati. Dia mengabaikan soal makannya bukan kerana mengurungnya. Jika kita kurung dengan menjaga makan minumnya dengan sempurna, tidak mengapa.

Terdapat di dalam sahih Bukhari dan Muslim, sebuah hadis dari Anas r.a.yang bermaksud:
"Adalah Rasulullah s.a.w. itu sebaik2 manusia dari segi akhlaknya. Aku ada saudara bagi ibuku Futaim yang dipanggil Umair. Adalah Rasulullah s.a.w. apabila mendatangi kami, baginda berkata: "Wahai Aba Umair apa yang burung bulbul buat?"

Al-Dumairi di dalam kitabnya Hayatul Hayawan al-Kubra mengatakan, bahawa hadis ini adalah dalil harus (boleh) bermain dengan burung kecil.

Al-Qurtubi berkata, yang ulamak bolehkan ialah menangkapnya dan bermain sedang ia di dalam sangkar. Manakala menyiksa dan mengabaikannya adalah tidak dibenarkan. Kerana Nabi s.a.w. menegah dari menyiksa binatang kecuali jika hendak memakannya (sembelih).

Mengenai mengurung binatang atau burung, Ibnu Aqil al-Hanbali mengharamkannya. Alasannya ialah, Abu Darda' pernah berkata, pada hari kiamat burung itu akan datang kepada hamba yang mengurungnya dari mencari rezekinya, katanya: "Wahai Tuhanku, inilah yang menyiksa aku di dunia."

Alasan Ibnu Aqil al-Hanbali ini dapat dijawab begini: Perkara di atas berlaku kepada orang yang tidak memberi burung itu makan dan minum. Jika diberi makan dan minum yang cukup, tidak mengapa.

LAIN-LAIN