KEUNGGULAN ISLAM
PUASA SUNAT HARI JUMAAT: PERLUKAH IA DIIRINGI DENGAN PUASA KHAMIS ATAU SABTU?

Home

AL-QURAN | HADIS | BAHR AL-MAADZI | SEJARAH | TOKOH ISLAM | TAZKIRAH | PERSOALAN | ALBUM | PERBINCANGAN | FAIL | NASYID | LINK

Al-Nawawi di dalam Minhaj al-Thalibin berkata:
"Dimakruhkan berpuasa hari Jumaat secara bersendirian, dan pada hari Sabtu."
(Bihamisy Mughnil Muhtaj, vol.1, hal. 447)

Maksud berpuasa pada hari Jumaat atau Sabtu secara bersendirian ialah, tidak melakukan puasa sebelum atau selepas hari berkenaan.

Jika puasa hari Jumaat, dia tidak berpuasa pada hari khamis. Juga tidak berpuasa pada hari Sabtu. Ini makruh.
Begitu juga, jika dia berpuasa pada hari Sabtu, dia tidak berpuasa pada hari Jumaat. Juga tidak berpuasa pada hari Ahad. Makruh juga.

Al-Khatib al-Syarbini memberi komentar:
[Dan dimakruhkan berpuasa secara bersendirian pada hari Jumaat kerana sabda Rasulullah s.a.w.: "Jangan kamu berpuasa oleh salah seorang dari kamu pada hari Jumaat kecuali berpuasa sehari sebelum atau selepasnya." (HR Syaikhani). Alasannya ialah, agar dengan tidak berpuasa dapat menguatkan dirinya untuk melakukan perkara yang dituntut pada hari Jumaat.
(Lihat: Mughnil al-Muhtaj, al-Khatib al-Syarbini, vol 1, hal 447)

Katanya lagi:
[Ada juga yang mengatakan illah (alasannya) ialah supaya tidak berlebih-lebihan di dalam mengagungkan hari Jumaat, sebagaimana orang kelakukan Yahudi untuk hari Sabtu. Ada juga yang memberi alasan agar tidak dianggap sebagai puasa yang diwajibkan. Ada pendapat lain, alasannya ialah, kerana hari jumaat adalah hari raya dan hari menikmati makanan.] (ibid.)

Katanya lagi:
[Dimakruhkan juga berpuasa pada hari sabtu bersendirian ataupun pada hari Ahad. Kerana ada hadis: "Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali puasa yang wajib atas kamu." (HR al-tarmizi & al-hakim atas syarat syaikhani). Kerana orang Yahudi mengagungkan hari Sabtu dan orang Nasrani (Kristian) mengagungkan hari Ahad.

Dan terkeluar/terkecuali dari kemakruhan menyendirikan tiga hari tersebut ialah dengan menghimpunkan dengan hari lain. Oleh itu tidak makruh berpuasa pada hari Jumaat dengan digabungkan puasa pada hari Sabtu. Begitu juga tidak makruh berpuasa pada hari Sabtu dengan digabungkan puasa pada hari Ahad. Kerana dengan menggabungkan begini dianggap tidak mengagungkan hari-hari berkenaan.] (ibid.)

Katanya lagi:
[(Tanbih/peringatan). Tempat yang dimakruhkan menyendirikan puasa pada hari-hari yang tersebut di atas ialah apabila ia tidak bertepatan dengan adat kebiasaannya. Oleh itu, jika dia biasa melakukan sehari berpuasa dan sehari berbuka, kemudian terkena hari berpuasa pada hari berkenaan (Jumaat, Sabtu atau Ahad), maka ini tidak dimakruhkan, sebagaimana pada hari syak. Kerana ada hadis Muslim: "Jangan kamu mengkhususkan berpuasa pada hari Jumaat di antara hari-hari, kecuali pada puasa yang berpuasa oleh salah seorang dari kamu." Dan diqiyaskan hari Jumaat dengan hari-hari lainnya.] (ibid.)

Demikian nukilan dari Mughnil Muhtaj.

--------------------
Kesimpulan:
1. Makruh berpuasa pada hari Jumaat tanpa berpuasa sebelum atau selepas hari berkenaan.
2. Begitu juga dengan hari Sabtu dan Ahad.
3. Hukum ini berdasarkan kepada beberapa hadis Nabi s.a.w.
4. Tidak makruh berpuasa pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad jika ia berbetulan dengan adat kebiasaannya. Seperti orang yang biasa berpuasa sehari dan berbuka sehari.

Sekian. Wallahu a'lam

Rujukan:
Mughnil Muhtaj, vol. 1

BAB IBADAT