Make your own free website on Tripod.com
KEUNGGULAN ISLAM
KHILAF QUNUT: ADAKAH QUNUT ITU SUNNAH ATAU BID'AH?

Home

AL-QURAN | HADIS | BAHR AL-MAADZI | SEJARAH | TOKOH ISLAM | TAZKIRAH | PERSOALAN | ALBUM | PERBINCANGAN | FAIL | NASYID | LINK

Pendahuluan
Merupakan masalah khilafiyah yang menjadi sebab pertelingkahan besar oleh segelintir masyarakat Islam.

------------------
Terdapat pelbagai pendapat ulamak mengenai doa qunut, iaitu:
1 .  Sebahagian ulamak mengatakan bahawa qunut tidak disyariatkan samasekali. Tidak kira samada qunut subuh, witir dan nazilah (kerana bencana/bala).
2 .  Sebahagian ulamak mengatakan bahawa qunut itu disyariatkan. Dan mereka ini terbahagi lagi kepada beberapa kelompok:
a .  Hukumnya, ada yang mengatakannya sebagai wajib dan ada yang mengatakannya sebagai sunat sahaja.
b .  Waktunya, ada yang mengatakan pada sembahyang subuh ada yang mengatakan tidak. Ada yang mengatakan pada witir, ada yang tidak. Ada yang mengatakan pada semua sembahyang dan ada yang mengkhususkan pada sembahyang tertentu. Ada yang mengatakan hanya ketika berlaku bencana.
c .  Tempatnya, ada yang mengatakan sebelum rukuk dan ada yang mengatakan selepas rukuk.

Namun kami tidak berhajat untuk membahaskan semuanya secara terperinci, kerana terlalu panjang. Dan alhamdulillah kami telahpun hampir siap menterjemah fatwa yang panjang lebar mengenai qunut oleh bekas Syeikhul Azhar, al-marhum Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq. Fatwa ini kami kira agak lengkap dan sempurna. Dan di sini kami akan petik pembahasan dari fatwa berkenaan tentang qunut subuh sahaja. Sedangkan yang lain-lain, kami lakukan secara ringkas dan sepintas lalu sahaja. Dan segala nukilan dari kitab-kitab para ulamak yang terdapat di dalam fatwa berkenaan hendaklah dirujuk-kan kepada kitab fatwa: Buhuth Wa Fatawa Islamiyah Fi Qadhaya Muasharah, vol. 3, hal.67-108.

 

Pendapat ulamak yang mengatakan qunut tidak disyariatkan, dalil dan penolakkannya.

Pendapat ulamak yang mengatakan qunut tidak disyariatkan: Sepintas lalu
Tidak disyariatkan bermaksud, dilarang melakukannya samada di dalam sembahyang subuh, witir dan qunut nazilah (kerana bencana).
Mereka behujah dengan hadis, antaranya ialah:

  1 .  Dari Abu Malik al-AsyjaI, katanya: Aku berkata kepada ayahku:
Wahai ayahku, sesungguhnya engkau pernah bersembahyang di belakang Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali, di sini di Kufah selama hampir lima tahun, adakah mereka berqunut? Dia menjawab: Wahai anakku itu adalah bidah. (HR Ahmad, al-Tarmizi & Ibnu Majah)

Di dalam riwayat lain: "Apakah mereka berqunut di dalam sembahyang subuh?"

  2 .  Di dalam satu riwayat al-NasaI, katanya (ayah Abu Malik):
Aku bersembahyang di belakang Rasulullah s.a.w., baginda tidak berqunut. Aku bersembahyang di belakang Abu Bakar, dia tidak berqunut. Aku bersembahyang di belakang Umar, dia tidak berqunut. Aku bersembahyan di belakang Ali, dia tidak berqunut. Kemudian dia berkata: Wahai anakku, ia adalah bidah.

  3 .  Daripada Ibnu Masud, katanya:
Rasulullah s.a.w. tidak pernah berqunut di dalam sembahyangnya sekalipun. (HR al-Thabrani, al-Baihaqi & al-Hakim).

Mereka mengatakan bahawa hadis-hadis di atas memberi petunjuk hukum, bahawa qunut adalah bidah yang ditegah.

Penolakan hujah menggunakan hadis ini:
Hadis-hadis di atas tidak dapat dijadikan hujah untuk menafikan qunut, kerana ada juga hadis-hadis sahih lain yang menerangkan bahawa Nabi s.a.w berqunut. Begitu juga ada diriwayatkan dari Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa mereka berqunut.

Oleh itu. Kata-kata ayah Abu Malik al-AsyjaI tentang qunut: ["Wahai anakku itu adalah bidah."] menunjukkan bahawa dia tidak mengetahui bahawa qunut ada dilakukan.

Jadi Di sini terdapat dua kumpulan, pertama yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah berqunut. Kedua yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah berqunut.

Bermakna Kumpulan pertama tidak tahu bahawa qunut itu pernah dilakukan. Manakala kumpulan kedua tahu bahawa qunut pernah dilakukan.

Oleh itu, orang yang tidak tahu hendaklah mengikut orang yang tahu. Riwayat dari orang yang tahu mesti kita dahulukan dari riwayat orang yang tidak tahu.

Keputusannya: Hujah adalah bagi orang yang tahu. Dengan itu telah nyata bahawa qunut adalah disyariatkan.

Ia adalah penolakan hujah yang dilakukan oleh Ibnu Hazmin di dalam al-Muhalla terhadap orang yang mengengkari qunut.

-------------
Kemudian terdapat juga sebahagian ulamak yang mengatakan bahawa qunut telah dimansuhkan. Mereka berhujah dengan hadis Anas r.a.:
Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah berqunut sebulan lamanya, kemudian baginda meninggalkannya (tidak berqunut lagi). (HR Ahmad).

Namun hujah golongan ini menggunakan hadis di atas tertolak kerana terdapat hadis-hadis lain, termasuk dari Anas r.a. sendiri yang menjelaskan bahawa ia masih dilakukan lagi dalam sembahyang dan keadaan tertentu.

----------
Begitulah secara ringkas penjelasan mengenai perselisihan pendapat mengenai apakah qunut disyariatkan ataupun tidak

Nas-nas mengenai qunut di dalam sembahyang subuh dan diskusinya

Qunut Subuh: Bidah atau sunah
Berikut ini adalah petikan terjemahan kami dari fatwa al-marhum Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq, syeikhul Azhar yang lalu:

Nas-nas mengenai qunut di dalam sembahyang subuh
Golongan yang mengatakan pensyariatan qunut di dalam sembahyang subuh telah berhujah dengan hadis riwayat Anas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah berqunut selama sebulan, mendoakan atas pembunuhan sahabat-sahabatnya di telaga Maunah, kemudian baginda meninggalkannya. Adapun di dalam sembahyang subuh, baginda terus berqunut sehinggalah wafat. (HR al-Baihaqi, al-Daruquthni, Ahmad dan Hakim - sahih)

Al-Syaukani memberi komentar terhadap hadis ini, seandainya hadis di atas itu sahih sudah tentu tidak akan berlaku pertelingkahan (antara ulamak), tetapi hadis ini diriwayatkan dari jalan Abu Jafar al-Razi, dan dia dikatakan orang yang mencampur adukkan dan buruk hafalannya. Ada diceritakan oleh sebahagian ulamak bahawa dia adalah orang yang dipercayai (thiqah) oleh bukan seorang sahaja.

-----
Abu Khuzaimah meriwayatkan dari Anas dari jalan Said dari Qatadah, bahawa Nabi s.a.w. tidak berqunut kecuali apabila berdoa kebaikan bagi satu kaum atau berdoa kebinasaan atas atas kaum.

Diriwayatkan dari Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. berqunut selama sebulan kemudian meninggalkannya. (HR Ahmad)

Di dalam satu riwayat lain: Baginda berqunut selama sebulan berdoa atas suatu kaum dari kaum-kaum Arab, kemudian meninggalkannya. (HR al-NasaI, Ibnu Majah, Muslim & Ahmad)

Menurut lafaz al-Bukhari: Baginda berqunut sebulan ketika pembunuhan al-qurra, Tidak pernah aku melihatnya begitu sedih melebihi dari ketika itu

(Al-qurra ialah utusan seramai 70 orang yang dihantar oleh nabi kepada satu kaum untuk mengajar lalu dibunuh oleh kaum itu - aL-AHKAM online)

Menurut riwayat Ahmad dan al-Daruquthni pada Hadis Anas terdapat satu wajah lain dengan penambahan: Maka adapun pada sembahyang Subuh, baginda masih meneruskan berqunut sehinggalah meninggal dunia.

Al-Syaukani berkata: Hadis di atas menunjukkan hukum bahawa qunut tidak disyariatkan di dalam semua sembahyang.

Apabila dihimpunkan (jamak) antara riwayat-riwayat dari hadis Anas di mana Nabi s.a.w. masih berqunut di dalam sembahyang Subuh sehingga meninggal dunia, maka dapat diketahui bahawa yang dikehendaki di sini ialah meninggalkan doa atas orang kafir. Bukan asasnya qunut.

Pengarang Subulus Salam memberi komentar terhadap perkataan "..kemudian baginda meninggalkannya" bermaksud meninggalkan qunut pada selain sembahyang subuh.

Maksud hadis: "Baginda masih berqunut di dalam setiap sembahyangnya"

Kemudian al-Shanani berkata: Hadis-hadis dari Anas sesungguhnya bercelaru dan bertentangan di dalam sembahyang subuh (qunut)

Apabila dihimpunkan antara semuanya di dalam kitab Huda an-Nabawi disebutkan: Hadis-hadis Anas semuanya sahih, sebahagiannya membenarkan sebahagian yang lain, dan tidak berlaku percanggahan di dalamnya. Dan, qunut yang disebutkan sebelum rukuk ialah memanjangkan berdiri kerana membaca al-Quran. Qunut yang disebutkan selepas rukuk ialah memanjangkan berdiri kerana berdoa. Maka inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. selama sebulan berdoa kebinasaan atas satu kaum, atau berdoa kebaikan bagi satu kaum. Kemudian baginda berterusan memanjangkan rukun ini untuk berdoa dan memuji sehingga wafat, sebagaimana yang tersebut di dalam dua kitab sahih (Bukhari & Muslim).

Dari Thabit bin Anas: Sesungguhnya aku masih lagi bersembahyang sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersembahyang bersama kami."

Ini adalah qunut yang dikatakan oleh Anas, di mana Rasulullah s.a.w. masih melakukannya sehingga wafat. Yang ditinggalkannya ialah doa atas kaum-kaum dari kalangan Arab. Ia dilakukan selepas rukuk. Maka yang dimaksudkan oleh Anas dengan qunut ialah memanjangkan berdiri.

Al-Shonani melanjutkan: Tidak dapat disembunyikan lagi, bahawa  penjelasan di atas tidak sesuai dengan keterangan Anas yang berbunyi ("Maka adapun di dalam sembahyang subuh, baginda masih lagi berqunut sehingga wafat.."). Bahawasanya keterangan Anas ini menunjukkan khusus untuk sembahyang subuh, sedangkan memanjangkan berdiri selepas rukuk umum untuk semua sembahyang.

Kemudian al-Shonani berkata: Jamaah ulamak dari kalangan salaf dan khalaf berpendapat bahawa doa selepas rukuk pada sembahyang subuh adalah sunat hukumnya, sekalipun mereka berselisih pendapat mengenai lafaznya.

Ibnul Qaiyim berkata di dalam kitab Zadul Maad: Apabila para fuqahak dan ramai orang menjadikan bahawa qunut itu adalah doa yang masyhur "Allahummadini Fiman Hadith..", dan mereka mendengar bahawa Rasulullah s.a.w. masih melakukannya dalam sembahyang subuh hingga wafat, begitu juga dengan khulafaur rasyidin dan sahabat-sahabat lainnya, lalu mereka (fuqahak & orang ramai) juga memaksudkan qunut pada lafaz sahabat dengan qunut menurut istilah yang mereka gunakan.

Qunut berkenaan ialah doa yang masyhur yang telah diriwayatkan oleh al-tarmizi, al-Baihaqi dari Hasan bin Ali. Al-Tarmizi mengatakan bahawa hadis berkenaan bertaraf hasan (baik).

Ibnul Qaiyim menguatkan hadis Anas dengan hadis Abu Hurairah r.a. yang berkata: "Demi Allah, aku adalah orang yang paling menyerupai sembahyang Rasulullah di kalangan kamu.". Dan, Abu Hurairah berqunut pada rakaat akhir pada sembahyang subuh selepas mengucapkan `samiallahu liman hamidah.., lalu dia berdoa untuk orang mukmin dan melaknat orang kafir. Dan, Abu Hurairah pula menyukai qunut seperti ini sebagai sunah, dan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melakukannya.

Ini, adalah sebagai bantahan/penolakan terhadap penduduk Kufah yang memakruhkan qunut di dalam sembahyang subuh secara mutlak, samada ketika berlaku bencana dan kecelakaan ataupun tidak. Mereka mengatakan bahawa qunut telah dimansuhkan dan melakukannya adalah bidah.

Kemudian Ibnul Qaiyim menambah: Para ahli hadis bersikap pertengahan antara penduduk Kufah dan orang yang menyukai qunut ketika berlaku bencana/balaataupun tidak. Para ahli hadis ini lebih memahami hadis berbanding dua kelompok tadi. Mereka (ahli hadis) berqunut sebagaimana Rasulullah s.a.w. berqunut. Mereka juga meninggalkan qunut sebagaimana Rasulullah s.a.w. tinggalkan. Mereka melakukan dan meninggalkan sebagaimana Rasulullah s.a.w. Para ahli hadis ini berkata: Melakukannya sunat dan meninggalkannya juga sunat.

Oleh itu, mereka (ahli hadis) tidak mengengkari orang yang melakukan qunut secara berterusan. Mereka tidak menghukumkan makruh terhadap orang yang melakukannya dan terhadap orang yang meninggalkannya. Mereka tidak menganggapnya sebagai bidah (samada buat buat qunut atau tidak). Mereka tidak menganggap orang yang membuatnya sebagai orang yang menyalahi sunnah, sebagaimana mereka tidak mengengkari atas orang yang mengengkarinya ketika berlaku bencana. Mereka tidak menganggap orang yang meninggalkan qunut sebagai bidah. Tidak menganggap orang yang meninggalkannya sebagai menyalahi sunnah. Malahan mereka mengatakan, sesiapa yang melakukan qunut dialah yang paling baik, dan sesiapa yang meninggalkan qunut dialah yang paling baik.

***** intaha*****

Golongan yang berpendapat qunut dalam sembahyang subuh

Imam al-Nawawi al-SyafiI di dalam Syarah al-Muhazzab berkata: Qunut dalam sembahyang subuh selepas mengangkat kepala dari rukuk pada rakaat kedua adalah sunat tanpa khilaf .

Adapun apa yang telah dinukilkan dari Abu Ali bin Abu Hurairah r.a. bahawa dia tidak berqunut dalam sembahyang subuh, kerana ia telah menjadi lambang kepada sekelompok pembuat bidah, itu adalah sesuatu yang salah. Ia tidak dikira dari mazhab kami.

Di dalam menjelaskan mazhab-mazhab ulamak di dalam menetapkan qunut pada sembahyang subuh, al-Nawawi berkata:
Mazhab kami mengatakan bahawa qunut itu sunat samada ketika kecelakaan (nazilah) ataupun tidak. Inilah yang dikatakan oleh kebanyakan para salaf dan khalaf serta orang selepas mereka. Sebahagian dari mereka yang berpendapat demikian ialah Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman, Ali, Ibnu Abbas dan al-Barra bin `Azib r.a. Dan al-Baihaqi telah meriwayatkannya dengan sanad yang sahih. Begitu juga mereka yang berpendapat demikian ialah dari kalangan tabiin dan orang-orang selepasnya. Inilah juga mazham imam Malik, al-Hasan dan Abu Daud.

Al-Nawawi berkata:
Mereka ini berhujah dengan hadis Anas r.a.: Sesungguhnya Nabi s.a.w. berqunut selama sebulan mendoakan kebinasaan atas mereka, kemudian meninggalkannya. Maka adapun pada sembahyang subuh, beginda masih berqunut sehingga wafat. (HR jamaah dan dianggap sahih oleh al-Hakim, al-Baihaqi, al-Daruquthni dll.)

Mereka berhujah juga dengan apa yang diriwayatkan dari al-Awwam bin Hamzah, katanya: Aku bertanya Abu Usman mengenai qunut pada sembahyang subuh, dia berkata: Selepas rukuk. Aku  berkata: Dari siapa? Dia berkata: Dari Abu Bakar, Umar dan Usman. (HR al-Baihaqi dan dianggapnya sebagai sahih)

Begitulah halnya dengan riwayat al-Baihaqi dari Abdullah bin Muaqqal, katanya: Ali berqunut pada sembahyang subuh.

Terdapat di dalam Syarah al-Kabir, karya syeikh al-Dardir al-Maliki: Disunatkan qunut pada sembahyang subuh sahaja.

Di dalam al-Mudauwanah al-Kubra: Waqi berkata dari Fithr dari Atho, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. berqunut pada sembahyang subuh, dan sesungguhnya Abu Musa al-Asyari, Abu Bakrah, Ibnu Abbas dan al-Hasan berqunut pada sembahyang subuh.

Katanya lagi, diriwayatkan dari Anas bin Malik dan Abu Rafi bahawa kedua-duanya bersembahyang subuh di belakang Umar, dia berqunut selepas rukuk.

Di dalam al-Mughni Ibnu Qudamah al-Hanbali:
Malik, al-SyafiI dan para pengikut keduanya berkata: Qunut disunatkan pada sembahyang subuh pada setiap masa

*** Intaha Jadul Haq ****

----------
Siapakan golongan yang menolak qunut subuh?
Di dalam empat mazhab, ulamak Hanafi dan Hanbali menolak qunut di dalam sembahyang subuh. Mereka mengatakan bahawa qunut subuh telah dinasakhkan berdasarkan hadis riwayat Ibnu Masud yang menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melakukan qunut subuh selama sebulan, kemudian meninggalkannya.
(Al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah al-Zuhaili, vol 1)

Kesimpulan
1 .  Para ulamak berselisih pendapat mengenai pensyariatan subuh. Sebahagiannya mengatakan bahawa qunut tidak disyariatkan. Yang lain mengatakan ia disyariatkan. Masing-masing menggunakan hadis sebagai hujah.
2 .  Golongan yang mengatakan bahawa qunut itu disyariatkan berselisih pendapat, bila waktunya ia perlu dibaca? Apakah pada waktu subuh sahaja, atau pada semua waktu sembahyang, atau pada witir sahaja, atau ketika terjadi bencana sahaja.
3 .  SyafiI dan Malik berpendapat bahawa qunut pada sembahyang subuh disunatkan. Manakala Hanafi dan Hanbali berpendapat qunut subuh telah dinasakhkan.

Pegangan kami:
Qunut adalah di antara masalah yang menjadi objek pertikaian sesetengah pihak. Sedangkan pada hakikatnya, ia adalah masalah khilafiyah yang tidak wajar menjadi faktor pertelingkahan sesama saudara seislam.

Kami berharap umat Islam warga Malaysia, khususnya, tidak melayan seruan-seruan yang bertindak mengungkit-ungkit masalah khilafiyah. Seruan yang hanya akan memecahbelahkan perpaduan umat. Mereka ini mengatakan bahawa qunut subuh itu tidak disunatkan, dan orang yang melakukannya itu adalah ahli bidah yang mengada-adakan sesuatu di dalam agamanya. Seruan ini adakalanya keterlaluan. Mereka seolah-olah tidak mengakui langsung adanya perselisihan pandangan di kalangan para ulamak di dalam menafsirkan nash-nash syarak.

Gelaran ahli bidah yang dilemparkan kepada mereka yang mengamalkan qunut subuh telah meninggalkan kesan yang tidak baik di dalam hubungan sesama muslim. Kami merasa amat sedih sekali. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak mengerti samasekali adab-adab berikhtilaf di dalam masalah-masalah furuk. Mereka ini jauh sekali dari tradisi yang diamalkan oleh para ulamak turun-menurun ketika berhadapan dengan masalah-masalah seperti ini. Melayan bicara mereka hanya akan menyebabkan kita ini lemah dan membodohkan diri sendiri.

Dalam masalah qunut ini, kami berpegang kepada prinsip bertasamuh di dalam masalah khilafiyah. Kami berpandangan, sesiapa yang mahu melakukan qunut subuh, bermakna dia telah mengikut sunnah. Dan, sesiapa yang tidak melakukannya, bermakna dia juga telah mengikut sunnah. Begitu juga, sesiapa yang melakukan qunut bermakna dia telah melakukan sesuatu yang baik, dan sesiapa yang tidak melakukan qunut dia juga telah melakukan sesuatu yang baik.

Tidak ada masalah samasekali, samada mahu berqunut subuh ataupun tidak. Sesiapa yang mahu berpegang kepada pendapat qunut subuh itu disunatkan, sila melakukannya. Sesiapa yang mahu berpegang kepada pendapat bahawa qunut subuh itu tidak disunatkan, tidak perlulah melakukannya.

Yang akan menjadi masalah ialah jika kita bersikap taksub dalam masalah khilafiyah tanpa memperdulikan pendapat yang dipegang oleh orang lain. Yang akan menjadi bercelaru ialah jika kita mengatakan orang yang melakukan qunut itu sebagai ahli bidah yang disesatkan Allah. Atau kita mengatakan orang yang tidak berqunut itu sebagai menyalahi sunnah.

Berikut ini adalah pendirian Syeikh Jadul Haq yang kami terjemahkan dari kitab fatwanya, dan inilah juga pegangan kami:

Maka inilah yang telah dikatakan oleh para ulamak terbilang, iaitu Ibnu Hazmin, Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qaiyim mengenai masalah qunut. Itulah yang kami pilih. Dan kami cenderung untuk berpegang dengannya. Iaitu, barangsiapa yang berqunut di dalam sembahyang subuh selepas rukuk, maka sesungguhnya dia telah mengikut sunnah yang datang dari Rasulullah s.a.w., mengikut para sahabatnya dan ia diamalkan oleh para imam mujtahidin, fuqahak dan ahli hadis. Dan, barangsiapa yang berqunut sebelum rukuk di dalam sembahyang subuh dan sembahyang witir, maka dia juga mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Qunut itu bukanlah bidah yang dilarang. Ini berdasarkan hadis-hadis yang telah dibincangkan oleh para fuqahak yang dapat dipercayai dan para hali hadis. Begitu juga, qunut bukanlah khusus ketika terjadi bencana sahaja. Ia dapat dilihat dengan jelas berdasarkan nukilan para fuqahak dari kalangan imam-imam dan ahli hadis bahawa qunut telah dilakukan walaupun tidak berlaku bencana.

Begitu baik sekali apa yang dikatakan oleh Ibnu Hazmin:
Dan qunut itu adalah zikrullah. Oleh itu melakukannya adalah baik dan meninggalkannya adalah harus.

Begitu juga dengan kata-kata Ibnu Taimiyah:
[.. para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa barangsiapa yang berqunut pada sembahyang subuh, sembahyangnya sah. Dan barangsiapa yang tidak berqunut, sembahyangnya juga sah. Begitulah juga qunut didalam sembahyang witir.]

Dan kata-kata Ibnul Qaiyim:
[Di samping itu para ulamak tidak mengengkari atas orang yang melakukan qunut secara berterusan, dan mereka juga tidak menganggap makruh orang yang melakukan qunut serta tidak menganggapnya sebagai bidah. Orang yang melakukannya tidak dianggap menyalahi sunnah.

Begitu juga, mereka tidak mengengkari orang yang orang yang mengengkari qunut ketika terjadi bencana. Mereka tidak menganggap orang yang tidak berqunut sebagai bidah. Juga tidak menganggap orang yang meninggalkannya sebagai menyalahi sunnah. Malahan para ulamak ini beranggapan bahawa barangsiapa yang berqunut, maka itulah yang paling baik, dan barangsiapa yang meninggalkan qunut, maka sesungguhnya itulah yang paling baik.]

Dari penjelasan ini, maka menjadi kewajipan kepada umat Islam tidak bertelingkah di dalam masalah ini dan masalah yang seumpamanya.

Di kalangan para ulamak dan mufti juga berkewajipan agar tidak menimbulkan pertelingkahan di kalangan umat Islam dengan masalah khilafiyah di dalam fatwa mengenai masalah furuk yang tidak memberi mudarat terhadap ibadah. Menjadi kewajipan mereka juga agar tidak melontarkan perkataan `bidah atas sesuatu yang diterima oleh umat Islam sebagai sunah yang diikuti.
(Buhuth Wa fatawa Islamiyah Fi Qadhaya Muashirah, Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq, hal.107-108)

BAB UMUM, ISTILAH DAN MAZHAB